Friday, May 7, 2010

〰○ 〰○HaRi JumAaT〰○ 〰○


Hari Jumaat merupakan penghulu bagi sekalian hari yang ada dalam seminggu.Hari Jumaat atau dikenali juga dengan nama Sayyidul Ayyam (Penghulu segala hari) adalah hari yang utama. Hari yang mustajab doa, hari pertambahan kurnia daripada Allah swt, hari penuh keampunan dan barakah, hari untuk umat Nabi Muhammad dan terpelihara dari fitnah kubur sesiapa yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat. Nah.... begitu istimewanya hari Jumaat!!

Dari sudut lahiriah, hari Jumaat terasa lainnya kerana pada hari ini wanita-wanita yang bekerja akan memakai baju kurung. Malahan pelajar sekolah juga diwajibkan berbaju kurung bergantung kepada kehendak dan jenis sekolah. Bagi lelaki Muslim pula, mereka kelihatan segak dan bergaya dengan memakai baju Melayu. Pemandangan sebegini setidak-tidaknya membezakan hari Jumaat dengan hari-hari yang lain. 

Pada hari Jumaat juga, Allah s.w.t mengutus malaikat ke muka bumi. Di tangan mereka kalam-kalam emas, juga kertas-kertas daripada perak, berdiri di pintu-pintu masjid, mencatat nama mereka yang masuk masjid, dan mendirikan sembahyang Jumaat. Apabila telah sempurna sembahyang, mereka kembali ke langit lalu berkata: 

Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat.

Wahai orang-orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu pada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli.(Al-Jumaah: 9)

Solat Jumaat jika dilakukan dengan sempurna bukan sahaja berfungsi sebagai penghapus dosa, mencegah perbuatan keji dan mungkar serta memantapkan jiwa dan sifat tawaduk dalam diri seperti solat wajib yang lain, malah ia juga berfungsi sebagai majlis ilmu.

Ibu bapa harus mendidik anak-anak dengan bersungguh tentang kepentingan dan kewajipan solat Jumaat. Sejak anak-anak kecil lagi, mereka harus diberitahu tentang nikmat dan hikmah solat Jumaat. Jangan lupa ceritakan juga keseronokan dan pahala amalan yang kita lakukan bukan sahaja untuk solat Jumaat malahan sepanjang hari Jumaat.

Amalan berterusan pada hari Jumaat seterusnya akan mendidik jiwa supaya sentiasa ingat kepada Allah s.w.t dan hidup bermasyarakat dengan baik setiap hari sehingga ke akhir hayat. Apakah sukar melapangkan masa hanya dua jam hingga tiga jam seminggu untuk menunaikan solat Jumaat yang pahalanya dan kebaikannya meliputi sepanjang hayat?

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails