Thursday, November 10, 2011

Tentang DHIA



HATI wanita manakah yang mampu menahan duka dan lara apabila dilanda badai ujian dan dugaan tanpa henti? Namun itulah yang berlaku kepada Dhia. Bagi Dhia, cinta dan simpati tiada ukurannya bagi yang setia berdiri di antara dua lelaki yang sangat dikasihinya.
Percintaan tiga segi ini menjadi mimpi ngeri bagi Dhia apabila dia dicemburui Melly yang menganggap dirinya lebih anggun dan sesuai. Kisah menarik ini dipaparkan dalam siri Tentang Dhia yang bakal membuai perasaan penonton setiap Isnin hingga Khamis, jam 7 malam apabila disiarkan TV3 menerusi slot Akasia, mulai hari ini.

Diarahkan Azlina Pa’wan, kisah cinta menggamit emosi dan penuh dramatik terbitan Grand Brilliance ini dijayakan barisan pelakon popular, Nora Danish, Adi Putra dan Ako Mustapha serta dibantu Irfan Roslan, Tasha Shilla, Izreen Azminda dan Puteri Sarah.

Tentang Dhia mengisahkan Raffi lakonan Irfan Roslan dan Azmi (Ako Mustafa), dua lelaki dari dua latar belakang berbeza. Hanya memikul tugas sebagai kerani biasa, Azmi adalah anak Imam kampung dan disukai ramai kerana sifat rendah diri dan pandai mengambil hati.


Raffi pula, jejaka dari keluarga berada dan mempunyai kelulusan luar negara. Dia teman rapat Dhia (Nora Danish) sejak kecil. Bagaimanapun, hati Dhia sudah lama terpaut pada perwatakan Azmi.

Tergamam apabila melihat Azmi menjadi pilihan hati Dhia dan bakal melangsungkan majlis pertunangan, Raffi yang baru pulang dari luar negara, merenung keseorangan dalam kesedihan dan kekecewaan.

Namun, hatinya ikhlas menyintai Dhia, lalu Raffi mengambil keputusan untuk reda dengan apa yang berlaku. Melly mengambil kesempatan ini untuk mendekati Raffi dan menidurinya ketika dia dalam keadaan mabuk demi membuktikan perasaan cintanya.

Jerat yang dipasang Melly memakan diri sendiri apabila Raffi tidak mengendahkannya. Melly juga mendapati dirinya mengandungkan anak Raffi. Tertekan dan terdesak, Melly mengenakan Azmi.

Azmi dan Melly ditangkap basah oleh penduduk kampung dan ditahan di lokap. Sejurus mengetahui berita ini, hati Dhia bagaikan dipanah halilintar, mengenangkan majlis pertunangan mereka yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Namun, berkat ketabahan hatinya, Dhia mampu memaafkan Azmi dan majlis pertunangan tetap akan berlangsung seperti dirancang. Bagaimanapun, majlis mereka diserang keluarga Melly yang ingin menuntut keadilan daripada Azmi.

Mereka mahukan Azmi bertanggungjawab atas perbuatannya kerana Melly mengandung. Sekali lagi, Dhia diuji dan ujian kali ini bakal mengubah hidupnya sampai bila-bila. Azmi dan Melly disatukan tanpa kerelaan Dhia yang hanya mampu mengalirkan air mata.

Bagaikan pelangi selepas hujan, hidup Dhia didatangi Zikir (Adi Putra), arkitek dari satu firma di Kuala Lumpur. Zikir mempunyai rakan baik, Fendi dan mereka bekerja di firma yang sama.

Zikir datang ke kampung Fendi untuk majlis pengebumian, ditemani isteri arwah Fendi, Suraya. Ketika menjamah nasi lemak di satu gerai di kampung itu, Zikir terlihat Dhia. Mata bertentang mata, Zikir terpesona dengan keayuan Dhia.

Ke manakah hala tuju Dhia selepas kehilangan Azmi? Apakah yang berlaku dalam hidup Zikir? Semua jawapannya ada dalam Tentang Dhia yang bersiaran sebanyak 26 episod untuk slot Akasia di TV3.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails